Jom KLIK Gambar

ANGKARA BEREBUT TEMAN LELAKI, GADIS DIBELASAH 15 PELAJAR PEREMPUAN

NOOR yang cedera selepas dibelasah 15 pelajar perempuan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar semalam.
KANGAR – Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis di sini teruk ‘dikerjakan’ sekumpulan 15 pelajar perempuan lain gara-gara pertelingkahan berebut teman lelaki sehingga mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital.
Dalam kejadian antara pukul 5 hingga 6 petang kelmarin berhampiran sekolah itu yang terletak dekat sebuah taman perumahan, mangsa yang hanya dikenali sebagai Noor, 15, mendakwa dia ditampar, dipukul dan dipijak oleh kumpulanpelajar tersebut yang mengamuk selepas menuduhnya merampas kekasih mereka.
Serangan ganas itu berlaku ketika mangsa baru keluar dari sekolah untuk pulang dengan menunggang basikal selepas selesai mengikuti latihan sukan.
Kumpulan pelajar perempuan itu didakwa sudah menunggu mangsa sebelum mereka terus membelasahnya. Pada masa itu mangsa yang tinggal di Pangsapuri Sena kira-kira 500 meter dari sekolahnya dalam perjalanan pulang seorang diri.
Setelah puas dikerjakan hampir 15 minit, Noor yang dalam kesakitan terpaksa mengagahkan diri mengayuh basikal pulang ke rumah. Kejadian malang yang menimpanya tidak dimaklumkan kepada ibunya.
Bagaimanapun, pada pukul 12 tengah malam, mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital oleh ibunya setelah dia muntah-muntah.
Mengimbas kejadian itu, Noor memberitahu, pertelingkahan tersebut berpunca apabila dua orang daripada kumpulan pelajar perempuan yang dikenalinya itu mendakwa dia mempunyai hubungan dengan teman lelaki mereka.

“Saya beritahu saya tiada apa-apa hubungan namun kedua-dua pelajar itu tidak berpuas hati dan terus menarik rambut dan memukul saya sebelum rakan lain ikut serta membelasah saya,” kata pelajar itu ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.
Noor, anak kedua daripada tiga beradik, baru sebulan belajar di SMK Perlis itu setelah berpindah dari Sungai Petani, Kedah bagi mengikuti ibunya yang bekerja di kedai makan di sini. Mangsa telah pun kematian bapa.
Katanya, dia langsung tidak menyangka kumpulan pelajar terbabit akan bertindak bagaikan orang hilang akal apabila tergamak membelasahnya sehingga dia hampir terjatuh ke dalam longkang.
“Malah ketika itu ada dua remaja lelaki iaitu teman lelaki kepada dua pelajar yang menuduh saya menjalin hubungan dengan kekasih mereka.
“Namun, kedua-dua remaja lelaki itu termasuk seorang yang bersekolah di sekolah sama dengan saya tidak membantu menjelaskan keadaan sebenar, sebaliknya kedua-dua lelaki itu turut menonton dan bersorak apabila melihat saya dibelasah.
“Hanya tiga pelajar perempuan dalam kumpulan itu yang saya kenal termasuk dua pelajar yang menuduh saya mempunyai hubungan dengan kekasih mereka. Ketiga-tiga pelajar itu sebaya dengan saya dan sama kelas dengan saya,” ujarnya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Hak Milik Kekal Qaseh Aneq